Friday, June 11, 2010

Sejarah Islam

Assalamualaikum.....

Pada kali ini Ana ingin berkongsikan sedikit pengetahuan atas dasar " Ballighu 'anni walau ayyah"

semalam Ana sempat mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Shazan di Surau Taman Seri Raia, Gopeng, Perak mengenai satu kitab (Ana terlupa nama kitabnya)-Tasawuf.

Sedikit sebanyak input yang ada dapat dapat dikongsikan pada penulisan kali ini. cerita mengenai kisah Raja Namrud dan Nabi Ibrahim a.s. dan dikaitkan dengan kisah Nabi Musa a.s.

sebelum kita lihat perkaitan di antara kedua-dua kisah ini, seeloknya kita teliti dahulu sejarah yang berlaku...



kisah Raja Namrud dan Nabi Ibrahim a.s.


Pencapaian di bawah pemerintahan Raja Namrud


Raja Namrud telah dianugerahi dengan daya intelek yang tinggi dan menjadi pakar dalam pelbagai bidang seperti seni reka, matematik dan ilmu falak.

Baliau telah menemui sistem sexagesimal yang membahagikan bulatan kepada 360 darjah, satu darjah kepada 60 minit dan 1 minit kepada 60 saat. Selain itu beliau menetapkan bahawa satu hari terbahagi kepada 24 jam setiap jam kepada 60 minit dan 1 minit kepada 60 saat. Menurut beliau hari bermula pada waktu tengah malam dan bukannya pada waktu matahari terbenam seperti yang dipercayai oleh kaum sebelumnya.

Disamping itu, Namrud mahir dalam pengiraan matematik dalam pembinaan bangunan-bangunan besar, jambatan, kuil, mahligai dan empangan. Antara sumbangan beliau ialah pembinaan sistem saliran irrigation di lembah Tigris dan Euphrates. Beliaulah orang pertama yang menggunakan batu-bata dari tanah liat yang terbakar burnt clay sebagai bahan binaan bangunan. Malah beliau terkenal sebagai arkitek Menara Babil iaitu pencakar langit yang pertama di dunia.

Malangnya sebagai seorang ateis, beliau telah menyalahgunakan kebijaksanaannya untuk menyesatkan rakyatnya. Antara lain beliau telah menggunakan ilmu falak untuk mencipta pelbagai sistem meramal nasib seperti horoskop dan tilik nasib palmistry. Tujuannya ialah untuk menunjukkan bahawa manusia tidak perlukan Tuhan kerana manusia mampu meramal dan mengubah nasibnya dengan sendiri. Selain itu, beliau membina banyak bangunan serta berhala yang tersergam indah agar manusia kagum dengan kehebatan ciptaannya sendiri. Menara Babil yang bermaksud "Pintu Gerbang yang Sempurna" merupakan kuil dimana pendita-pendita menyanjungi Namrud. Tujuannya dibina ialah untuk menaikkan sebuah bangunan yang mampu mencecah kayangan. Menurut buku "Sejarah Para Rasul dan Raja" pada abad ke-9 oleh ahli sejarah Islam terkenal al-Tabari, menara tersebut telah dimusnahkan oleh Allah. Pada mulanya para pembinanya menggunakan satu bahasa iaitu bahasa Suryani, tetapi ia terpecah kepada 72 bahasa yang berlainan. Akibatnya mereka tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain dan tidak dapat meneruskan pembinaan menara tersebut.

Beliau juga amat meminati ilmu sihir dan menggunakannya untuk mempengaruhi fikiran rakyatnya. Adalah dipercayai beliau mempelajari ilmu tersebut dari dua malaikat Harut dan Marut yang pernah disebut dalam al-Quran.

Selain itu, beliau telah memulakan suatu era yang baru dimana manusia memandang rendah pada tuhan. Rakyatnya tidak digalakkan untuk melakukan kebaikan demi tuhan kerana baginya tuhan yang ghaib adalah lemah. Oleh itu orangramai dibawah pemerintahannya boleh mengikut nafsu manusia seperti berpesta, seks rambang, meminum arak dan segala kemungkaran yang lain. Oleh yang demikian, beliau diberi gelaran Bacchus atau Dewa Wain kerana beliau 'mabuk' dengan keduniaan. Beliau juga mendakwa dirinya Tuhan kerana sebagai seorang manusia beliau lebih tahu mengenai kelemahan manusia lain berbanding Tuhan yang jauh terpisah dari makhluknya sendiri.
[sunting] Pertembungan antara Raja Namrud yang zalim dengan Nabi Ibrahim a.s. dalam kitab-kitab

Kitab Injil tidak pernah menyatakan tentang pertemuan antara Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim a.s. Malah terdapat jurang tujuh generasi antara mereka berdua, Namrud sebagai cicit Nabi Nuh a.s, manakala Ibrahim sepuluh generasi selepas Nabi Nuh. (Genesis 10,11).

Walaupun begitu Kitab Taurat dan al-Quran menggambarkan pertembungan antara Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim a.s sebagai satu konfrontasi hebat antara kebaikan dan kejahatan atau lebih spesifik lagi Monoteisme menentang Taghut dan Penyembahan Berhala. Namun demikian menurut sumber Yahudi, Raja Namrud sempat bertaubat sebelum beliau meninggal dunia. Tetapi penganut Islam mempercayai bahawa beliau tetap dengan pendiriannya sebagai Tuhan sehinggalah keakhir hayatnya.

Ketibaan Nabi Ibrahim a.s.

Pada satu malam Raja Namrud bermimpi melihat bintang yang terbit dari barat. Semakin tinggi ia naik, semakin terang bintang itu menyinar. Sehinggakan ia sampai ke zenith dimana ia menerangi seluruh alam semesta. Selepas terbangun Raja Namrudpun memanggil penasihatnya dan menceritakan mimpinya tersebut. Penasihat itu memberitahu beliau bahawa terdapat beberapa tafsiran bagi mimpinya itu.

Antara tafsirannya ialah:

* akan lahir seorang insan dalam masa setahun.
* insan itu akan dilahirkan di Faddam A'ram.
* insan itu akan menjadi pemusnah batu berhala.
* insan itu akan membuktikan kepalsuan Raja Namrud.
* insan itu akan menyebarkan agama bahawa tuhan yang esa wujud dan darinya akan lahir zuriat-zuriat para nabi dan aulia.
* Nabi terakhir dari zuriat ini akan membawa agama yang ibarat bintang di zenith iaitu menyinari seluruh alam semesta.
* akibat insan ini Raja Namrud akan mati secara dasyhat


Menurut cerita yang lain, Namrud bermimpi melihat seorang kanak-kanak melompat dan masuk ke biliknya, kemudian merampas mahkota yang dipakainya, lalu menghancurkannya.

Sebaik mendengar berita ini beliaupun menjadi gelisah. Beliau sedar bahawa insan ini akan membawa kepada kejatuhannya. Dengan serta merta Raja Namrud menghantar bala tenteranya ke Faddam A'ram. Penduduk lelakinya telah dipisahkan dari isteri-isteri mereka. Wanita-wanita yang mengandung telah dibunuh. Raja Namrud pun mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang melahirkan anak akan dibunuh bersama anaknya sekali. Selepas satu tahun beliau mendapat petanda bahawa insan itu akan dilahirkan. Beliau mengesyaki Azaar iaitu orang yang paling dipercayainya kerana Azaar pernah dibenarkan untuk memasuki bandar tersebut. Walaupun begitu Azaar menafikannya dan isterinya pula tidak menunjukkan tanda-tanda hamil. Namun, beliau tidak mempercayainya dan menugaskan seorang tentera untuk menjaga isteri Azaar. Setahun telah berlalu dan tentera Namrud telah dikeluarkan dari bandar Faddam A'ram.
Nabi Ibrahim a.s. menentang kebatilan yang disebarkan Raja Namrud.

Raja Namrud menjadi lega kerana menyangkakan bahawa beliau telah menggagalkan kelahiran insan yang akan menentangnya itu. Walaupun begitu insan itu telah dilahirkan di sebuah gua berhampiran Faddam A'ram. Semasa insan itu iaitu Nabi Ibrahim a.s. mencapai dewasa beliau telah menghancurkan beberapa batu berhala. Ini telah menimbulkan kemarahan rakyat jelata yang menangkap serta membawanya kepada muka pengadilan iaitu dihadapan Raja Namrud.

Ditanyalah Nabi Ibrahim oleh Raja Namrud:"Apakah engkau yang melakukan penghancuran dan merosakkan tuhan-tuhan kami?"

Dengan tenang dan selamba, Nabi Ibrahim menjawab:"Patung besar yang berkalungkan kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya saja kepada patung-patung itu siapakah yang menghancurkannya."

Raja Namrudpun terdiam sejenak. Kemudian beliau berkata:" Engkaukan tahu bahwa patung-patung itu tidak dapat bercakap dan berkata mengapa engkau minta kami bertanya kepadanya?"

Tibalah masanya yang memang dinantikan oleh Nabi Ibrahim, maka sebagai jawapan atas pertanyaan yang terakhir itu beliau berpidato membentangkan kebatilan persembahan mereka, yang mereka pertahankan mati-matian, semata-mata hanya karena adat itu adalah warisan nenek-moyang.

Berkata Nabi Ibrahim kepada Raja Namrud itu:
"Jika demikian halnya, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manfaat atau menolak mudharat, bahkan tidak dapat menolong dirinya dari kehancuran dan kebinasaan? Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan persembahan kamu itu! Tidakkah dapat kamu berfikir dengan akal yang sihat bahwa persembahan kamu adalah perbuatan yang keliru yang hanya difahami oleh syaitan. Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan alam sekeliling kamu dan menguasakan kamu di atas bumi dengan segala isi dan kekayaan. Alangkah hina dinanya kamu dengan persembahan kamu itu."

Setelah selesai Nabi Ibrahim menguraikan pidatonya itu, barulah Raja Namrud sedar bahawa jejaka dihadapannya ialah insan dalam mimpinya itu. Budak ini bijak berpidato dan mempunyai logik yang lebih tinggi daripada beliau dan mampu mengugat kepercayaan rakyatnya terhadap penyembahan berhala. Selain itu, budak ini sangat yakin dengan wujudnya tuhan yang esa dan tidak percaya dengan berhala. Bahkan budak ini langsung tidak gentar dengan Raja Namrud dan berani membantahnya. Raja Namrud pun tahu bahawa beliau mesti membunuh Nabi Ibrahim dengan serta merta. Lalu beliau pun membuat keputusan untuk membakar Nabi Ibrahim hidup-hidup sebagai hukuman atas perbuatannya menghina dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka.

Maka berserulah Raja Namrud kepada rakyat yang hadir menyaksikan pengadilan itu:"Bakarlah ia dan belalah tuhan-tuhanmu, jika kamu benar-benar setia kepadanya."

Nabi Ibrahim pun dilemparkan ke dalam bukit api yang menyala-nyala. Tetapi dengan ajaibnya beliau terselamat. Hanya tali temali dan rantai yang mengikat tangan dan kakinya yang terbakar hangus, sedang tubuh dan pakaian yang terlekat pada tubuhnya tetap utuh, tidak sedikit pun tersentuh oleh api. Orang ramai tercengang dengan keajaiban ini dan mula mempersoalkan kepercayaan kepada Raja Namrud. Malah anak perempuan Raja Namrud sendiri iaitu Puteri Razia mengaku di hadapan orang ramai bahawa tuhan nabi Ibrahim a.s. adalah tuhan yang sebenarnya. Ini telah menaikkan kemarahan beliau yang mengarahkan tenteranya untuk membunuh puterinya itu. Puteri itupun meluru kearah api yang besar itu lalu berkata "Tuhan Nabi Ibrahim selamatkanlah aku". Puteri Razia pun turut terselamat dari terbakar dan dalam api yang membara itu kedengaran dia mengucap kalimah syahadah. Tindakan derhaka puterinya menjadikan hati Raja Namrud semakin membara. Sebaik sahaja puteri Razia keluar dari api tersebut beliau serta tenteranya telah mengejarnya kedalam hutan. Ini memberi peluang kepada Nabi Ibrahim serta adik tirinya Sarah, bapanya Azaar serta anak saudaranya Nabi Luth a.s. untuk melarikan diri. Raja Namrud dan tenteranya puas mencari Puteri Razia tetapi puteri itu telah hilang. Selepas sekian lama, merekapun pulang dan mendapati bahawa Nabi Ibrahim turut terlepas. Setelah peristiwa ini, Raja Namrud kian gelisah kerana rakyatnya mula hilang kepercayaan kekuasaannya. Oleh itu, beliau berazam pula untuk membunuh Tuhan nabi Ibrahim.
Raja Namrud cuba membunuh Tuhan Nabi Ibrahim a.s iaitu Allah s.w.t.

Seperti kepercayaan orang dahulu kala, beliau menganggap bahawa Tuhan bersemayam di atas kayangan. Oleh itu Raja Namrud telah berusaha untuk membina sebuah kenderaan yang mampu terbang keatas langit. Empat ekor burung yang besar digunakan untuk mengangkat kenderaan itu kelangit. Empat tiang yang panjang yang dicucuk dengan makanan telah dinaikkan agar burung-burung itu terbang ke atas. Beliau yakin apabila sampainya di langit, beliau akan menghampiri Allah dan boleh memanahnya sehingga mati.

Sebaik sahaja kenderaan naik ke udara, Raja Namrud pun bersedia dengan anak panahnya. Beliau terkenal sebagai pemanah yang handal dan hadiahnya yang paling besar ialah Allah. Walaupun begitu, beliau menjadi hairan kerana semakin tinggi kenderaan itu naik semakin jauh langit itu berada. Lama-kelamaan, udara pun menjadi semakin tipis dan beliau semakin susah untuk bernafas. Dengan sepenuh hati beliau mengacukan panahnya kelangit dan memanah keudara. Selang beberapa minit panahnya jatuh kekenderaannya berlumuran dengan darah. Raja Namrud berasa gembira kerana menyangka beliau berjaya membunuh Tuhan Nabi Ibrahim a.s. Lalu beliaupun menolak tiang-tiang itu kebawah supaya burung-burung itu terbang balik kebumi. Apabila sampai kebawah, beliau dengan bangganya menunjuk anak panahnya dikhalayak ramai dan mengaku bahawa beliau telah memburu serta membunuh Allah.

Raja Namrud pun menjemput Nabi Ibrahim a.s keistananya untuk menunjukkan kekuasaan beliau. Apabila ditunjuk akan panahnya itu, nabi Ibrahim bertanya apabila Raja Namrud memanah tuhan adakah langit semakin jauh atau semakin dekat. Beliau terpaksa mengaku bahawa langit semakin jauh. Oleh itu nabi Ibrahim mendakwa bahawa darah itu adalah sebenarnya darah ikan yang dilumur oleh malaikat dilangit dan Raja Namrud tidak berupaya untuk membunuh Allah.

Barulah beliau sedar bahawa beliau telah dikaburkan matanya oleh Allah. Beliau tetap mahu menunjukkan kekuasannya. Lalu beliau memanggil tenteranya untuk membawa dua orang tawanan. Satunya telah dikenakan hukuman bunuh manakala seorang lagi telah dibebaskan. Dengan angkuh beliau berkata berkata kepada nabi Ibrahim, "Lihatlah saya dapat memberi kehidupan kepada seorang dan mengambil nyawa orang yang lain!". Nabi Ibrahim pula menjawab, "Tuhan yang saya sembah berkuasa untuk menerbitkan matahari dari timur. Bolehkah Raja Namrud menerbitkan matahari disebelah barat pula?" Beliaupun terpaksa mengaku kalah dengan logik nabi Ibrahim a.s. Dengan nada yang tinggi beliau mencabar Allah untuk menentangnya disebuah tempat tertentu. Beliau akan mengumpul seluruh bala tenteranya untuk berperang dengan Allah.


Kematian Raja Namrud

Raja Namrud pun mengumpul bala tenteranya yang ramai lengkap dengan senjata yang serba canggih untuk menghadapi Tuhan nabi Ibrahim a.s. Apabila tiba di tempat itu, Allah telah menurun beribu-ribu nyamuk atau serangga yang halus. Senjata buatan manusia yang paling hebat pun tidak mampu menepis serangan makhluk yang halus ini. Dalam beberapa minit mereka telah menembusi kulit tentera Raja Namrud dan membunuh mereka dengan dahsyat sekali. Beliau bagaimanapun berjaya melarikan diri tetapi seekor nyamuk itu telah masuk keotaknya. Dipercayai selama empat puluh hari dan empat puluh malam, beliau merana kerana otaknya dicucuk oleh nyamuk itu. Dalam waktu tersebut, nabi Ibrahim sering mengunjungi serta memberi dakwah kepada beliau. Namun beliau tetap mendakwa dirinya Tuhan. Akhirnya beliau memanggil orang suruhannya untuk mengambil sebatang besi yang besar untuk memukul kepalanya agar sakitnya hilang. Setelah beberapa minit kepalanya dipukul, beliau mengarahkan orang suruhannya untuk memberi pukulan yang paling kuat dan ini telah membawa kepada kematian Raja Namrud yang zalim itu. Kemudian nyamuk tersebut merangkak keluar dari telinga beliau. Maka berakhirlah kehidupan seorang raja takbur yang mati akibat serangan seekor nyamuk yang halus.

rujukan:http://ms.wikipedia.org/wiki/Raja_Namrud







Kisah Nabi Musa a.s.


Kelahiran Nabi Musa

Nabi Musa diutuskan oleh Allah bagi memimpin Kaum Israel ke jalan benar. Beliau merupakan anak kepada Imran dan Yukabad binti Qahat, (Musa bin Imran bin Kohath bin Lewi bin Yakqub bin Ishaq bin Ibrahim), bersaudara (adik-beradik mengikut sesetengah periwayatan) dengan Nabi Harun, dilahirkan di Mesir pada pemerintahan Firaun.


Firaun Dengan Mimpi

Waktu kelahirannya cukup cemas kerana Firaun menguatkuasakan undang-undang supaya setiap bayi lelaki yang dilahirkan terus dibunuh. Tindakan itu diambil kerana dia sudah terpengaruh dengan ahli nujum yang menafsirkan mimpinya. Firaun bermimpi Mesir terbakar dan penduduknya mati, melainkan kalangan Kaum Israel, sedangkan ahli nujum mengatakan kuasa negara itu akan jatuh ke tangan lelaki Kaum Israel. Disebabkan khuatir, dia memerintahkan setiap rumah digeledah dan jika mendapati bayi lelaki perlu dibunuh.

Ibu Nabi Musa, Yukabad melahirkan seorang bayi lelaki (Musa) dan kelahiran itu dirahsiakan. Kerana merasa bimbang dengan keselamatan Musa, apabila musa mencecah umur tiga bulan Musa dihanyutkan ke Sungai Nil. Musa yang terapung di sungai itu ditemui isteri Firaun , Asiah sendiri ketika sedang mandi dan tanpa berlengah dibawanya ke istana. Melihat isterinya membawa seorang bayi, Firaun dengan tidak teragak-agak menghunuskan pedang untuk membunuh Musa.

Asiah berkata:
“Janganlah dibunuh anak ini kerana aku menyayanginya. Baik kita menjadikannya seperti anak sendiri kerana aku tidak mempunyai anak.” Dengan kata-kata dari Asiah tersebut, Firaun tidak sampai hati untuk membunuh Musa.


Nabi Musa Bertemu ibunya

Kemudian Asiah mendapatkan pengasuh tetapi tidak seorang pun yang dapat mendodoikan Musa dengan baik, malah dia asyik menangis dan tidak mahu disusui. Selepas itu, ibunya sendiri tampil untuk mengasuh dan membesarkannya di istana Firaun. Al-Quran menghuraikan peristiwa itu:
“Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya supaya senang hatinya dan tidak berdukacita dan supaya dia mengetahui janji Allah itu benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.”

Pada suatu hari, Firaun mendukung Musa yang masih kanak-kanak, tetapi dengan tiba-tiba janggutnya ditarik hingga dia kesakitan,

lalu berkata:
“Wahai isteriku, mungkin kanak-kanak ini yang akan menjatuhkan kekuasaanku.”

Isterinya berkata:
“Sabarlah, dia masih kanak-kanak, belum berakal dan mengetahui apa pun.”

Sejak berusia tiga bulan hingga dewasa Musa tinggal di istana itu sehingga orang memanggilnya Musa bin Firaun. Nama Musa sendiri diberi keluarga Firaun. “Mu” bermakna air dan “sa” bermaksud pokok sempena tempat penemuannya di tepi Sungai Nil oleh Asiah.


Mukjizat Nabi Musa hadapi Firaun

Kisah pertembungan di antara mukjizat Nabi Musa dengan sihir dari tukang sihir firaun dikata bermula disebab satu peristiwa di mana pada satu ketika semasa Musa mengambil meninjau di sekitar kota dan kemudian beliau terserempak dua lelaki sedang berkelahi, masing-masing di kalangan Bani Israel bernama Samiri dan bangsa Firaun, Fatun. Melihatkan pergaduhan itu Musa mahu mententeramkan mereka, tetapi ditepis Fatun. Tanpa berlengah Musa terus menghayunkan satu penumbuk ke atas Fatun, lalu tersungkur dan meninggal dunia.

Apabila mendapati lelaki itu meninggal dunia kerana tindakannya, Musa memohon ampun kepada Allah seperti dinyatakan dalam al-Quran:

“Musa berdoa: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiayai diriku sendiri kerana itu ampunilah aku. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Tetapi, tidak lama kemudian orang ramai mengetahui kematian Fatun disebabkan Musa dan berita itu turut disampaikan kepada pemimpin kanan Firaun. Akhirnya mereka mahu menangkap Musa. Disebabkan terdesak, Musa mengambil keputusan keluar dari Mesir. Beliau berjalan tanpa arah dan tujuan, tetapi selepas lapan hari, beliau sampai di kota Madyan, iaitu kota Nabi Syu’aib di timur Semenanjung Sinai dan Teluk Aqabah di selatan Palestin.

Musa tinggal di rumah Nabi Syu’aib(Jethro) beberapa lama sehingga berkahwin dengan anak gadisnya bernama Shafura(Zipporah). Selepas menjalani kehidupan suami isteri di Madyan, Musa meminta izin Syu’aib untuk pulang ke Mesir.Dalam perjalanan itu, akhirnya beliau dan isterinya tiba di Bukit Sina. Dari jauh, beliau ternampak api, lalu terfikir mahu mendapatkannya untuk dijadikan penyuluh jalan. Beliau meninggalkan isterinya sebentar untuk mendapatkan api itu. Apabila sampai di tempat api menyala itu, beliau mendapati api menyala pada sebatang pokok, tetapi tidak membakar pokok berkenaan. Ini menghairankannya dan ketika itu beliau terdengar suara wahyu daripada Tuhan.

Selepas itu Allah berfirman kepadanya, bermaksud: “....Wahai Musa sesungguhnya Aku Allah, iaitu Tuhan semesta alam.”

Firman-Nya lagi, bermaksud: “Dan lemparkan tongkatmu, apabila tongkat itu menjadi ular Musa melihatnya bergerak seperti seekor ular, dia berundur tanpa menoleh. Wahai Musa datanglah kepada-Ku, janganlah kamu takut, sungguh kamu termasuk orang yang aman.”


Selepas itu Allah berfirman lagi kepada Musa,
maksudnya:
“Masukkan tanganmu ke leher bajumu, pasti keluar putih bersinar dan dakapkan kedua tanganmu ke dada kerana ketakutan....”


Tongkat menjadi ular dan tangan putih berseri-seri itu adalah dua mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Musa, ketika beliau dalam perjalanan pulang dari Madyan ke Mesir, bagi menghadapi Firaun dan pengikutnya yang fasik. Firaun cukup marah mengetahui kepulangan Musa yang mahu membawa ajaran lain daripada yang diamalkan selama ini sehingga memanggil semua ahli sihir untuk mengalahkan dua mukjizat berkenaan. Ahli sihir Firaun masing-masing mengeluarkan keajaiban, ada antara mereka melempar tali terus menjadi ular. Namun, semua ular yang dibawa ahli sihir itu ditelan ular besar yang berasal daripada tongkat Musa.

Firman Allah bermaksud: “Dan lemparkanlah apa yang ada di tangan kananmu, pasti ia akan menelan apa yang mereka buat. Sesungguhnya apa yang mereka buat itu hanya tipu daya tukang sihir dan tidak akan menang tukang sihir itu dari mana saja ia datang.”

Semua keajaiban ahli sihir itu ditewaskan Musa menggunakan dua mukjizat berkenaan, menyebabkan sebahagian daripada kalangan pengikut Firaun, termasuk isterinya mengikuti ajaran yang dibawa Musa. Melihatkan ahli sihir dan sebahagian pengikutnya beriman dengan ajaran Nabi Musa, Firaun marah, lalu menghukum golongan berkenaan. Manakala isterinya sendiri diseksa hingga meninggal dunia.

Nabi Musa bersama orang beriman terpaksa melarikan diri sehingga mereka sampai di Laut Merah. Namun, Firaun dan tenteranya yang sudah mengamuk mengejar mereka dari belakang, tetapi semua mereka mati ditenggelamkan laut.

Al-Quran menceritakan: “Dan ingatlah ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun dan pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan.”



Nabi Musa bermunajat di Bukit Sina

SELEPAS keluar dari Mesir, Nabi Musa bersama sebahagian pengikutnya dari kalangan Bani Israel menuju ke Bukit Sina untuk mendapatkan kitab panduan daripada Allah. Namun, sebelum itu Musa disyaratkan berpuasa selama 30 hari pada Zulkaedah. Ketika mahu bermunajat, beliau beranggapan bau mulutnya kurang menyenangkan. Beliau menggosok gigi dan mengunyah daun kayu, lalu perbuatannya ditegur malaikat dan beliau diwajibkan berpuasa 10 hari lagi.Dengan itu puasa Musa genap 40 hari.

Sewaktu bermunajat, Musa berkata: “Ya Tuhanku, nampakkanlah zatMu kepadaku supaya aku dapat melihatMu.” Allah berfirman: “Engkau tidak akan sanggup melihatKu, tetapi cuba lihat bukit itu. Jika ia tetap berdiri tegak di tempatnya seperti sediakala, maka nescaya engkau dapat melihatku.” Musa terus memandang ke arah bukit yang dimaksudkan itu dan dengan tiba-tiba bukit itu hancur hingga masuk ke perut bumi, tanpa meninggalkan bekasnya.Musa terperanjat dan gementar seluruh tubuh lalu pengsan.


Bertasbih

Apabila sedar, Musa terus bertasbih dan memuji Allah, sambil berkata: “Maha besarlah Engkau ya Tuhan, ampuni aku dan terimalah taubatku dan aku akan menjadi orang pertama beriman kepadaMu.” Sewaktu bermunajat, Allah menurunkan kepadanya kitab Taurat. Menurut ahli tafsir, ketika itu kitab berkenaan berbentuk kepingan batu atau kayu, namun padanya terperinci segala panduan ke jalan diredhai Allah.

Sebelum Musa pergi ke bukit itu, beliau berjanji kepada kaumnya tidak akan meninggalkan mereka lebih 30 hari. Tetapi Nabi Musa tertunda 10 hari, kerana terpaksa mencukupkan 40 hari puasa. Bani Israel kecewa dengan kelewatan Musa kembali kepada mereka. Ketiadaan Musa membuatkan mereka seolah-olah dalam kegelapan dan ada antara mereka berfikir keterlaluan dengan menyangka beliau tidak akan kembali lagi. Dalam keadaan tidak menentu itu, seorang ahli sihir dari kalangan mereka bernama Samiri mengambil kesempatan menyebarkan perbuatan syirik. Dia juga mengatakan Musa tersesat dalam mencari tuhan dan tidak akan kembali. Ketika itu juga, Samiri membuat sapi betina daripada emas. Dia memasukkan segumpal tanah, bekas dilalui tapak kaki kuda Jibril ketika mengetuai Musa dan pengikutnya menyeberangi Laut Merah. Patung itu dijadikan Samiri bersuara.(Menurut cerita, ketika Musa dengan kudanya mahu menyeberangi Laut Merah bersama kaumnya, Jibril ada di depan terlebih dulu dengan menaiki kuda betina, kemudian diikuti kuda jantan yang dinaiki Musa dan pengikutnya. Kemudian Samiri menyeru kepada orang ramai: “Wahai kawan-kawanku, rupanya Musa sudah tidak ada lagi dan tidak ada gunanya kita menyembah Tuhan Musa itu. Sekarang, mari kita sembah anak sapi yang diperbuatkan daripada emas ini. Ia dapat bersuara dan inilah tuhan kita yang patut disembah.”

Selepas itu, Musa kembali dan melihat kaumnya menyembah patung anak sapi. Beliau marah dengan tindakan Samiri.

Firman Allah: “Kemudian Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan bersedih hati. Berkata Musa; wahai kaumku, bukankah Tuhanmu menjanjikan kepada kamu suatu janji yang baik? Apakah sudah lama masa berlalu itu bagimu atau kamu menghendaki supaya kemurkaan Tuhanmu menimpamu, kerana itu kamu melanggar perjanjianmu dengan aku.”


Musa bertanya Samiri, seperti diceritakan dalam al-Quran:

“Berkata Musa; apakah yang mendorongmu berbuat demikian Samiri? Samiri menjawab: Aku mengetahui sesuatu yang mereka tidak mengetahuinya, maka aku ambil segenggam tanah (bekas tapak Jibril) lalu aku masukkan dalam patung anak sapi itu. Demikianlah aku menuruti dorongan nafsuku.”

Kemudian Musa berkata:
“Pergilah kamu dan pengikutmu daripadaku, patung anak sapi itu akan aku bakar dan lemparkannya ke laut, sesungguhnya engkau akan mendapat seksa.”Umat Nabi Musa bersifat keras kepala, hati mereka tertutup oleh kekufuran, malah gemar melakukan perkara terlarang, sehingga sanggup menyatakan keinginan melihat Allah, baru mahu beriman.

Firman Allah:
“Dan ingatlah ketika kamu berkata: Wahai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang, kerana itu kamu disambar halilintar, sedangkan kamu menyaksikannya. Selepas itu Kami bangkitkan kamu selepas mati, supaya kamu bersyukur.”



Kezaliman Firaun

Allah memberikan banyak nikmat kepada Bani Israel, antaranya dibebaskan daripada kezaliman Firaun, menjalani kehidupan di kawasan subur, mempunyai Taurat dan rasul di kalangan mereka, tetapi mereka tidak bersyukur, malah memberikan pelbagai alasan. Mereka juga membelakangi wahyu Allah kepada Musa supaya berpindah ke Palestin. Alasan diberikan kerana mereka takut menghadapi suku Kan’an. Telatah Bani Israel yang pengecut itu menyedihkan hati Musa, lalu beliau berdoa: “Ya Tuhanku, aku tidak menguasai selain diriku dan diri saudaraku Harun, maka pisahkanlah kami dari orang fasik mengingkari nikmat dan kurniaMu.”

Hukuman Bani Israel yang menolak perintah itu ialah Allah mengharamkan mereka memasuki Palestin selama 40 tahun dan selama itu mereka berkeliaran di atas muka bumi tanpa tempat tetap.Mereka hidup dalam kebingungan sehingga semuanya musnah. Palestin kemudian dihuni oleh generasi baru.

Bani Israel juga memperlekehkan rasul mereka, yang dapat dilihat melalui kisah sapi seperti dalam surah al-Baqarah: “Dan ingatlah ketika Musa berkata kepada kaumnya, sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyembelih sapi betina. Mereka berkata; apakah kamu hendak menjadikan kami bahan ejekan...”

Musa meninggal dunia ketika berusia 120 tahun, tetapi ada pendapat menyatakan usianya 150 tahun di Bukit Nabu’, tempat diperintahkan Allah untuk melihat tempat suci yang dijanjikan, iaitu Palestin. Tetapi beliau tidak sempat memasukinya.

rujukan:http://ms.wikipedia.org/wiki/Nabi_Musa_a.s.



No comments:

Post a Comment