Sunday, July 11, 2010

APA DIA ISLAM?

Dalam coretan kali ini, Ana ingin berkongsikan sedikit sebanyak tentang apa yang diperolehi semasa kuliah subjek PIM3104 (Pendidikan Aqidah Sekolah Rendah) bersama Ustaz Mohd Nor b. Jusoh (Ustaz Rabbani) pada pagi tadi.


Apa dia Islam??
Itulah tajuk yang dibawa oleh pensyarah JAPIM, IPGM Kampus Dato’ Razali Ismail ini untuk disampaikan kepada anak-anak didiknya yang bakal menjadi ustaz dan ustazah di sekolah nanti. Ilmu-ilmu yang diperolehi inilah yang akan menjadi modal asas kepada guru pelatih seperti untuk diolah dalam masyarakat khususnya di sekolah.

Sebagaimana pesanan Ustaz Rabbani,
“ Kamu semua belajar di maktab ini tidak memadai dengan hanya mengharapkan ilmu dalam sukatan pengajian semata-mata”


Oleh itu, sebagai bakal guru, sudah menjadi kewajipan bagi kita semua untuk cuba sedaya upaya meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang ilmu. Termasuklah ilmu fardhu Ain dan fardhu Kifayah.


Pengertian Islam
Dari sudut bahasa
-Islam berasal daripada perkataan bahasa Arab, iaitu salima yang bermaksud selamat, sentosa dan kedamaian.
Ia juga bermaksud menyerah diri, tunduk, patuh dan taat.


"Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana Aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran ugama Allah Yang Aku sampaikan itu); balasanKu hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan Aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".

(Surah Yunus:72)


Definisi Islam mengikut istilah syarak

-Patuh dan menyerah diri kepada Allah s.w.t dengan penuh kesedaran dan kerelaan tanpa paksaan.
- Islam juga ialah peraturan hidup, peraturan bersifat integral yang mengatur hidup dan kehidupan manusia, menjadi dasar akhlak mulia sebagaimana yang disampaikan oleh nabi Muhammad s.a.w.

Syeikh Mahmud Salthut

Mentakrifkan Islam sebagai agama yang diwasiatkan pengajaran yang baik mengenai perkara-perkara pokok dan syariat kepada Rasulullah S.A.W. dan perintah kepada Baginda untuk menyampaikannya kepada manusia serta menyeru mereka (manusia) kepada Allah S.W.T.




Allah S.W.T. sendiri telah menyebut Islam itu Deen (Agama). Sebagaimana firman Allah S.W.T. dalam Al-Qur’an:



……. pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu…….

(Surah Al-Maidah:3)


Islam itu Deen. Sebab itulah mana-mana manusia yang menganut Islam itu digelar Muslim.

Dalam surah yang lain pula, ada pesanan-pesanan dari Nabi-nabi terdahulu mengenai Deen yang kita anuti ini:-


Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat Dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu Dalam keadaan Islam".
(Al-Baqarah:132)


Agama yang kita anuti memanglah Islam. Tetapi Islam itu bukan agama sahaja. Contohnya, sebagai perkaitan: lembu itu haiwan, tapi haiwan bukan hanya lembu sahaja. pengertian haiwan lebih luas dari lembu. Pengertian Islam lebih luas daripada agama semata-mata. Selain dari agama, Islam mempunyai banyak perkara yang terdapat di dalamnya.

Segalanya ada jawapanya dari Allah dan Rasulnya. Jawapan dari Alah dalam Al-Qur’an dan jawapan Nabi yang juga berpandukan wahyu Allah dalam Sunnah iaitu Hadith-hadith Baginda.

No comments:

Post a Comment