Saturday, February 23, 2013

"Zalimun linafsihi itu aku dan kamu"

Terbaca satu artikel yang ditulis oleh Dr. Juanda
Berkenan untuk saya kongsikan di sini setelah sekian lama tidak mengemaskini blog ini.



Seandainya kita berada di syurga, di manakah tempat yang layak kita duduki? Untuk menjawab soalan itu elok kita teliti dengan cermat, cukupkah kiranya amal saleh yang kita lakukan sepanjang hidup ini? Pernahkah anda merasa iri hati melihat orang lain lebih banyak beramal ibadat berbanding diri anda? Umpama menikmati cahaya bulan pada malam yang cerah, ia sungguh indah, namun tidak boleh dicapai. Begitulah kiranya kedudukan orang-orang yang berada di syurga tertinggi. Mereka yang berada di bawah tentu menyesal, mengapa di dunia dahulu dia tidak beramal seperti amalan sahabatnya yang berada di atas sana. Dengan iman manusia mencapai puncak ketinggian. Iman itulah yang menentukan status dan gelaran mereka di dalam syurga. Sabda baginda SAW yang bermaksud: 
“Sesungguhnya penghuni syurga melihat para penghuni yang berada di atas tingkat mereka   bagaikan melihat bulan di langit.” 
                                                                             (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Sememangnya kedudukan Mukmin itu bertingkat-tingkat mengikut keadaan amalan masing-masing. Hal ini dinyatakan di dalam surah Faathir ayat: 32 yang bermaksud: 

“Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri mereka sendiri dan di antara mereka ada yang pertengahan dan di antara mereka ada yang mendahului dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.”


i. Al-Sabiquna bil khairat 
(mereka yang mendahului dalam berbuat kebaikan). 

Kedudukan mereka dekat dengan Nabi SAW kerana iman yang mendalam dan amal saleh yang dilakukan. Mereka adalah VVIP di sisi Allah dan Rasul-Nya, yang berjuang bersama-sama Nabi dan yang paling cepat menyahut seruan iman kemudian beramal dengannya. 
Dr Aid al-Qarniy menyatakan di dalam kitabnya ’Ihfazillah Yahfazukallah’ menyatakan bahawa golongan Assabiqun ini memiliki sifat-sifat melakukan ibadat yang wajib dan merasa tidak cukup dengannya sehingga menambah dengan ibadat yang sunat. Sehingga kedudukan mereka jauh lebih tinggi daripada hamba-hamba Allah yang lain.


ii. Al-Muqtashid 
(Golongan pertengahan). 

Dr Aid juga mengulas tentang golongan ini, beliau berkata: “Mereka ini ialah golongan yang merasa cukup melakukan kewajipan-kewajipan sahaja." Hal ini telahpun melayakkan diri mereka mendapat kecintaan Allah SWT. Sepertimana hadis Baginda SAW yang bermaksud: “Tidaklah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai melainkan dia melakukan sesuatu yang telah Aku wajibkan ke atasnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah). Namun demikian keadaan mereka di syurga berada di bawah golongan Assabiqun.


iii. Zalimun linafsihi. 
(Yang menzalimi dirinya sendiri). 

Saidatina Aisyah RA pernah ditanya oleh seorang sahabat, Masruk RA: ”Wahai bonda, siapakah orang yang masuk dalam kumpulan Assabiqunabil khairat? Aisyah menjawab: ”Iaitu orang-orang yang hidup bersama Rasulullah, sementara al-Muqtashid ialah mereka yang hidup selepas baginda wafat. Dan yang menganiaya diri sendiri (zalimun linafsihi) adalah aku dan kamu.”


Perkataan Ummul Mukminin Aisyah RA yang merendah diri menunjukkan kepentingan meletakkan diri dalam keadaan waspada dan takut kepada Allah. Namun begitu, tidak mustahil kita boleh mendapatkan kedudukan Assabiqun, walaupun amal dan perbuatan kita amat jauh ketinggalan dibandingkan dengan para sahabat RA. Satu syarat mutlak bagi kita mencapai kedudukan ini ialah apabila kita mencintai golongan Assabiqun dengan menyertai mereka dalam setiap amal perbuatan, walaupun kita tidak berada pada zaman mereka. Mencintai bermaksud menjadikan mereka sebagai inspirasi dan teladan di dalam kehidupan. Rasulullah SAW menjanjikan sesiapa yang mencintai suatu kaum maka dia akan bersama-sama dengan mereka di syurga kelak. Sabda baginda SAW yang bermaksud: “Seseorang akan bersama dengan yang dikasihinya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam riwayat lain Nabi SAW ditanya: Bagaimanakah jika seseorang kasih kepada satu kaum tetapi tidak berkumpul bersama mereka? Nabi SAW bersabda: Seseorang akan berkumpul dengan kekasihnya (di akhirat).



Mencintai membawa maksud mengikuti amalan mereka dengan mengambil acuan yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada mereka. Amalan mereka mengikut sunnah dan tidak tercemar oleh unsur bid’ah. Mereka memastikan amalan yang dibuat adalah berdasarkan ilmu dan dalil yang kukuh. Jauh sekali dari sikap mengikut sesuatu amalan yang tiada asas. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan di antara orang-orang mukmin itu ada golongan yang menepati apa yang dijanjikannya kepada Allah, di antara mereka ada yang menemui ajalnya (mati syahid) dan di antara mereka ada yang menanti-nantikannya (untuk memperoleh syahid) dan tiadalah mereka ingin menukar janji itu dengan yang lain. 
                                                                        (Surah al-Ahzab : Ayat 23)

.................................................................
Sabtu, 1.59 p.m.
Rumah Menara Gading, BatU rAkIT


No comments:

Post a Comment