Saturday, February 12, 2011

REFLEKSI BENGKEL KESANTUNAN BERBAHASA

Oleh: Mohd Rushdan bin Mat Rosid
Unit: PISMP PAI semester 3


Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya dapat kita meneruskan lagi kehidupan di atas muka bumi ini. Sedikit perkongsian refleksi...


Pada 6 Februari 2011, satu bengkel etiket sosial dan protokol pertama berkenaan dengan tajuk “ Kesantunan Berbahasa” telah Berjaya dilaksanakan. Terima kasih kepada kumpulan yang telah berjaya menganjurkan bengkel ini yang terdiri daripada empat orang ahli iaitu Muhammad Hazwan bin Hamidan, Nur Fadzlina binti Muhamad Muhaidin, Nurul Mardhiah binti Abdul Wahab dan Wan Nor Farehah binti Wan Mohamad.

Pada bengkel kali ini, mereka berempat telah menjemput En. Idrulhisyam bin Ismail, Ketua Penyelaras Tutorial IPG KDRI sebagai penceramah kepada hadirin yang hadir yang terdiri dari unit PISMP PAI semester 3.


"Kesantunan Berbahasa"



Bengkel Kesantunan Berbahasa banyak memberi input-input yang berguna kepada guru pelatih sekalian lebih-lebih bila mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran ataupun di majlis-majlis rasmi. Dengan menggunakan bahasa yang betul, seseorang guru akan Berjaya menarik minat pelajar untuk terus belajar. Malah, pelajar juga turut mencontohi apa yang diamalkan oleh guru mereka terutamanya dalam berbicara dalam kalangan yang sebaya,orang yang lebih muda, orang yang lebih tua dan sebagainya.

En. IdrulHisyam....



Pada bengkel ini juga, En. Idrulhisyam juga banyak menekan kepada guru pelatih sekalian berkenaan dengan teknik-teknik menarik minat pelajar dengan bahasa, penggunaan bahasa selari dengan mimik muka, bahasa badan dan lain-lain lagi. Semuanya itu akan dipraktikkan oleh guru pelatih di sekolah nanti. Jika kita perhatikan suasana dunia semasa sekarang, lidah sudah menjadi satu kuasa besar. Di negara-negara yang bergolak contohnya di Mesir, suara rakyat dapat menjatuhkan dan menggulingkan Presiden Mesir, Hosni Mubarak kerana tidak berpuas hati dengan pentadbirannya yang tidak telus kepada rakyat. Itulah kuasa lidah. Ada pepatah yang mengatakan, lidah lebih tajam dari mata pedang. Dengan lidah juga, mereka mampu menipu, memfitnah dan sebagainya.

"Lidah lebih tajam dari mata pedang....gunakanlah sebaik-baiknya..."


Walaupun begitu, ada sedikit kekurangan yang tidak ketara berlaku. Pertama, adalah kesilapan tarikh dalam penyediaan buku program bengkel etiket sosial dan protokol “ Kesantunan Berbahasa” . Jika kita rujuk pada buku program tersebut, tarikh yang ditulis adalah 6 Feb 2010 . Padahal tahun yang sebenar adalah 2011. Namun begitu, ianya hanyalah kesilapan kecil dan masih boleh diperbaiki dan diambil perhatian serius pada masa akan datang.


Ummie Rosliza selaku Tutor turut hadir bersama-sama...


Ummie Rosliza menyampaikan cenderahati kepada En. Idrulhisyam sebagai tanda terima kasih.



Bagi guru pelatih sekalian, segala maklumat dan pengalaman yang diperoleh ketika menghadiri bengkel etiket sosial dan protokol kesantunan berbahasa ini mesti dugunakan sebaik mungkin dalam kerjaya sebagai seorang pendidik tidak kira kepada murid-murid, masyarakat dan sebagainya. Ilmu yang dipelajari dapat digunakan untuk menyebarkan risalah-risalah dakwah dengan lebih berkesan kepada umat manusia di surau-surau, masjid, sekolah dan lain-lain lagi. Bahasa yang berkesan mampu menarik minat pelbagai golongan untuk lebih tertarik kepada apa yang hendak kita sampaikan. Pada masa yang sama, kesantunan berbahasa yang kita amalkan juga dapat dijadikan satu ikutan yang baik kepada masyarakat di sekolah atau sebaliknya.



Tambahan pula, kita akan selamat dari celaan atau cercaan dari masyarakat apabila menggunakan bahasa yang sesuai kepada mereka. Malah, masyarakat juga akan lebih tertarik kepada kita dengan kesantunan bahasa yang kita guna pakai dalam kehidupan sehari-hari. Jadi, mudah bagi seseorang terutamanya golongan pendidik untuk menarik perhatian ibu bapa serta masyarakat sekitar untuk sama-sama membantu dalam pembangunan sahsiah dan prestasi akademik pelajar selaras dengan tuntutan agama Islam sendiri dan Falsafah Pendidikan yang menitikberatkan usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.


Anak didik sebgai kain putih, guru yang akan mencorakkannya...


Kesimpulannya, segala yang baik dijadikan amal dalam kehidupan dan segala yang berlawanan dengan yang benar itu dijadikan sempadan untuk terus-menerus mendapat keberkatan dari Allah s.w.t. Akhir kata, jadilah pendidik yang mampu menjadi ikutan yang baik kepada murid khususnya dan masyarakat amnya. Sekian.

............................................................................................

No comments:

Post a Comment